HADIS

  • Huru-hara dari timur

    Daripada Ibnu Umar RA (radhiallahu anhu — semoga diredai Allah), bahawa Rasulullah SAW (sollallahu alaihi wasallam) pernah berdiri di sebelah mimbar sambil menghadap ke (arah) timur, lalu bersabda (ertinya):

    “Ketahuilah, sesungguhnya fitnah (huru-hara akan timbul) dari sini, dari tempat munculnya tanduk syaitan atau kata baginda, tanduk matahari.”

    Sumber —  Huru-hara hari kiamat, Ibn Katsir — Bab beberapa contoh rusuhan yang telah dan akan terjadi pada akhir zaman.

  • Penebus kesalahan

    Daripada Abu Barzah RA, dia berkata: “Adalah Rasulullah SAW berkata di akhir apabila Baginda hendak bangun dari majlis: Subhanakallahumma wa bihamdika asyhadu an la ilaha illa anta astaghfiruka wa atubu ilaik (Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagi-Mu, saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Engkau, saya memohon ampunan serta bertaubat kepada Engkau).

    “Kemudian, ada seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, anda mengucapkan suatu ucapan yang anda tidak pernah ucapkan sebelum ini?

    “Baginda bersabda: Itu sebagai penebus kesalahan-kesalahan yang terjadi di dalam majlis.” (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

    Huraian

    — Apabila seseorang mengakhiri majlisnya dengan membaca zikir ini, maka ia akan menjadi penghapus kesalahan senda gurau dan dosa lainnya yang terjadi di dalam majlis. Dan jika hal itu dilakukan dalam suatu majlis, maka ia ibarat orang yang membiasakannya dan itu akan menjadi kebaikan di atas kebaikan.

  • Ketaatan dan hubung kaitnya

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (ertinya): “Sesiapa mentaatiku, maka dia telah mentaati Allah. Sesiapa menderhaka kepadaku, maka dia menderhaka kepada Allah. Dan sesiapa mentaati seorang pemimpin, maka dia telah mentaatiku. Sesiapa menderhaka terhadap seorang pemimpin, maka dia menderhaka kepadaku.” (Sahih Bukhari, Muslim dan Ahmad)

    Huraian:

    — Hadis ini menerangkan mengenai kewajipan taat kepada pemimpin dan haramnya menentang mereka. 

    Firman Allah bermaksud: “Sesiapa mentaati Rasul, sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa berpaling (daripada ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 80)

  • Umpama bangkai keldai

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah suatu kaum bangun meninggalkan majlis tanpa berzikir kepada Allah Taala padanya melainkan mereka bangun seumpama bangkai keldai dan mereka akan mendapat penyesalan.” (Riwayat Abu Daud)

    Huraian

    — Disebut bangkai keldai untuk lebih menekankan agar perbuatan itu dijauhi dan sebagai isyarat bahawa meninggalkan zikir seumpama dengan keldai dalam hal kebodohan. Sebabnya dia lalai berzikir kepada Allah lantaran kesombongan dan nikmatnya berbincang-bincang.

  • Hak orang berhak

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu bangun dari (tempat duduk) suatu majlis, kemudian dia kembali ke tempatnya, maka dia lebih berhak dengannya (tempatnya tadi).” (Riwayat Muslim)

    Huraian

    — Hadis ini menunjukkan sesiapa meninggalkan tempat duduknya kerana suatu keuzuran, kemudian dia kembali lagi ke tempat duduknya tadi, maka dia lebih berhak, sama ada dia meninggalkan barang di situ atau tidak.

  • Pandang pada hati

    Daripada Abu Hurairah, Abdur Rahman bin Shakhr berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu. (Hadis riwayat Muslim)

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Kelebihan Mukmin

    Daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan berkata:

    Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sangat menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Bahawa semua keadaannya adalah kebaikan baginya dan kebaikan itu tidak dimiliki oleh seorang pun selain orang Mukmin, iaitu apabila dia mendapat kelapangan hidup, dia bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya. Apabila dia ditimpa kesulitan, dia bersabar, maka hal itu adalah kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

  • Malaikat sampaikan salam

    Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang selalu berjalan di muka bumi, menyampaikan kepadaku salam daripada umatku. (Sunan Darimi)

  • Mohonlah keampunan

    Daripada al-Agharr bin Yasar al-Muzani berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah keampunan kepada-Nya, kerana sesungguhnya saya bertaubat dalam sehari 100 kali.” (Riwayat Muslim)

    Huraian

    — Dalam hadis ini juga dijelaskan mengenai kewajipan bertaubat, istighfar dan sentiasa istiqamah melakukan hal itu di setiap waktu dan keadaan.

  • Tak mampu, usah jadi pemimpin

    Daripada Abu Dzar RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Wahai Abu Dzar! Aku melihatmu lemah dan aku menginginkan untukmu seperti yang aku inginkan untuk diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin di antara dua orang dan jangan kamu mengurus harta anak yatim.” (Riwayat Muslim)

    Huraian

    — Hadis ini menerangkan orang yang tidak mampu menunaikan hak kepimpinan dan melakukan urusannya, maka dia tidak boleh menerimanya. Demikian juga halnya dengan orang yang tidak mampu mengurus dengan baik harta anak yatim.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya