HADIS

  • Cara solat

    Daripada Imran bin Hushain RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Solatlah sambil berdiri. Jika tidak mampu, maka sambil duduk. Jika kamu tidak mampu, maka sambil berbaring di atas rusuk. Jika tidak mampu juga, maka cukup dengan isyarat.” (Diriwayat oleh Bukhari)

    Huraian

    — Dalam kitab Subulus Salam disebutkan: “Dalam penyalinan al-Bulugh kami tidak mendapati kesesuaian. Al-Bukhari telah meriwayatkan hadis ini tanpa perkataan ‘jika tidak maka dengan isyarat’. Dan an-Nasai menambahkan: “Jika engkau tidak mampu, maka berbaringlah. Allah tidak membebani jiwa melainkan sesuai kemampuannya.”

    — Hadis ini adalah dalil bahawa Baginda SAW tidak solat wajib dalam keadaan duduk melainkan kerana uzur iaitu tiadanya kemampuan. Termasuk dalam hal ini adalah situasi khuatir ada bahaya. Hal ini berdasarkan firman Allah bermaksud: “Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu kesempitan dalam agama.” (Surah al-Haj, ayat 78)

  • Kurma dan air

    Daripada Salman bin Amir adh-Dhabbiy as-Sohabi RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda (mafhumnya): Apabila seorang daripada kamu berbuka (berbuka puasa), maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada, maka berbukalah dengan air. Maka, sesungguhnya ia (air) adalah pembersih (atau menyucikan). (Hadis diriwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Tirmidzi berkata, hadis ini hasan sahih)

    Huraian

    Sabda baginda “maka berbukalah dengan kurma”, Tirmidzi menambahkan “kerana (kurma) itu berkat”. Hikmahnya adalah ketika di dalam perut ada sisa-sisa makanan, kurma menghilangkan sisa-sisa itu dan jika tidak ada, kurma menjadi sumber makanan, selain kurma juga menyatukan kembali cahaya penglihatan yang berserakan (bertaburan) kerana puasa. 

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 743

  • Segera berbuka dicintai Allah

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Allah (Azza wa Jalla) berfirman, hamba-hamba-Ku yang paling Aku cintai adalah yang paling menyegerakan berbuka (berbuka puasa). (Hadis diriwayatkan Tirmidzi dan berkata hadis ini hasan)

    Huraian

    Allah mencintai orang yang menyegerakan berbuka kerana menyegerakan berbuka itu mengikuti sunah.

    Allah berfirman maksudnya: Katakanlah (Muhammad) ‘jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu’. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Ali-Imran, ayat 31)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 741

  • Menyegerakan Maghrib dan berbuka

    Daripada Abu Athiyah, dia berkata: Aku bersama Masruq masuk menemui Aisyah RA (radhiallahu anha). Masruq kemudian bertanya, ada dua sahabat Muhammad SAW, kedua-duanya tiada lalai daripada kebaikan, salah seorangnya menyegerakan Maghrib dan berbuka, dan yang lain (seorang lagi) mengakhirkan Maghrib dan berbuka? Aisyah bertanya: Siapa yang menyegerakan Maghrib dan berbuka? Masruq menjawab: Abdullah — iaitu (Abdullah) Ibnu Mas’ud. Aisyah berkata: Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah. (Hadis diriwayat Muslim)

    Huraian

    Hadis ini mengandungi anjuran menyegerakan Maghrib dan berbuka puasa ketika matahari terbenam.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 741

  • Keutamaan segera berbuka puasa

    Daripada Sahl bin Saad RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Manusia akan sentiasa dalam kebaikan selama (atau selagi) mereka menyegerakan berbuka puasa. (Sahih Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

    Huraian

    Ahmad menambahkan daripada riwayat Abu Dzar (bermaksud) “dan mereka mengakhirkan sahur.”

    Disebutkan dalam satu riwayat: “Umatku akan sentiasa berpegang pada sunahku selama mereka tidak menunggu (terbitnya) bintang-bintang saat berbuka.”

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740

  • Pembeza puasa Muslim dengan ahli kitab

    Daripada Amr bin As RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Pembeza antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    Huraian

    Hadis ini secara tegas menunjukkan bahawa sahur termasuk salah satu keistimewaan umat ini dan Allah menganugerahkan syariat itu kepada kita, seperti halnya Dia juga menganugerahkan berbagai-bagai rukhsah (keringanan atau kelonggaran) lainnya.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740 

  • Berkat pada sahur

    Daripada Anas RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Bersahurlah kamu! Maka, sesungguhnya pada sahur ada keberkatan. (Sahih Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Nasai)

    Huraian

    Keberkatan sahur dapat diperolehi melalui banyak sisi, seperti:

    1. Mengikuti sunah, berbeza dengan ahli kitab.

    2. Memperkuat ibadat.

    3. Meningkatkan vitaliti (daya).

    4. Mencegah akhlak tidak baik berpunca daripada rasa lapar.

    5. Faktor mendorong untuk bersedekah kepada orang meminta ketika itu atau mengajaknya makan bersama.

    6. Faktor mendorong zikir dan doa pada waktu mustajab (waktu diterima doa).

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740

  • Doa apabila melihat hilal

    Daripada Talhah bin Ubaidullah RA, apabila melihat hilal (anak bulan) Nabi SAW membaca: Wahai Allah munculkanlah ia kepada kami dengan aman dan iman, selamat dan Islam, Rabbku (Tuhanku) dan Rabbmu (Tuhanmu) Allah, hilal petunjuk dan kebaikan.” (Hadis diriwayatkan at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini (statusnya) hasan)

    Huraian

    Hadis ini berisi anjuran berdoa saat melihat hilal. 

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737

  • Puasa Ramadan kerana melihat hilal

    Daripada Ibnu Abbas RA (radhiallahu anhu) dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu berpuasa sebelum Ramadan. Puasalah kerana melihatnya (hilal = anak bulan) dan berbukalah kerana melihatnya. Jika awan menghalangi (hilal), maka sempurnakanlah 30 hari. (Hadis diriwayatkan Tirmidzi, dia berkata hadis ini (status) hasan sahih)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737/738

  • Tidak mendahului Ramadan melainkan…

    Daripada Abu Hurairah RA (radhiallahu anhu) daripada Nabi SAW (sollallahu alaihi wasallam) baginda bersabda: “Janganlah seseorang antara kamu mendahului Ramadan dengan puasa satu hari atau dua hari, melainkan bagi orang yang biasa berpuasa, maka silakan dia berpuasa pada hari itu.” (Muttafaq alaihi — Sahih Bukhari & Muslim) 

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737