sedekah

  • Al-Husna dan ziyadah

    Menurut riwayat Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim; daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah pada hari kiamat mengutus seorang petugas untuk menyeru; wahai sekalian penghuni syurga! Dengan suara yang dapat didengar oleh orang-orang paling hadapan mahupun paling belakang; sesungguhnya Allah pernah menjanjikan kepadamu “al-Husna” dan “ziyadah”. Al-Husna adalah syurga, dan ziyadah adalah memandang kepada Wajah Tuhan Yang Maha Pengasih.”

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 537

  • Disingkap hijab daripada mereka

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Suhaib RA bahawa Rasulullah SAW pernah membacakan ayat berikut (maksudnya): “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.” (Yunus, 26)

    Lalu Rasulullah SAW bercerita: Apabila semua penghuni syurga telah masuk syurga, dan semua penghuni neraka telah masuk neraka, maka terdengarlah suatu seruan: “Wahai sekalian penghuni syurga, sesungguhnya bagimu di sisi Allah ada janji yang akan Dia tunaikan kepadamu.”

    “Apa itu, penghuni syurga tertanya-tanya. Bukankah semua amalan (kebaikan) kami telah Engkau jadikan lebih berat? Bukankah telah Engkau jadikan wajah-wajah kami putih berseri! Engkau masukkan kami ke dalam syurga, dan Engkau keluarkan kami dari neraka!”

    Rasul bersabda (meneruskan ceritanya): “Lalu disingkapkan hijab daripada mereka, sehingga mereka dapat memandang kepada Allah. Demi Allah, tidak ada sesuatu yang diberikan Allah kepada mereka, yang lebih mereka sukai dan menyenangkan pandangan mata mereka, selain memandang kepada-Nya.”

    Demikian pula bunyi hadis diriwayatkan oleh Muslim daripada Hammad bin Salamah.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 537

  • Saling berpandangan antara penghuni syurga dan Allah

    Abu Abdillah Muhamad bin Yazid bin Majah pada kitab as-sunnah dalam sunannya, meriwayatkan: Daripada Jabir bin Abdillah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ketika para penghuni syurga berada dalam kenikmatan mereka, tiba-tiba muncullah cahaya menyinari mereka. Mereka pun mendongakkan kepala mereka dan ternyata atas kurnia-Nya, Allah menghampiri mereka dari atas, seraya mengucapkan: “Assalamualaikum wahai sekalian penghuni syurga!”

    Rasul bersabda: Itulah yang dimaksudkan pada firman Allah (bermaksud); (kepada mereka dikatakan) salam sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang (Yasin, 58).

    Rasulullah bersabda: Allah memandang kepada segenap penghuni syurga dan mereka pun memandang kepada-Nya. Mereka tidak melihat kepada kenikmatan apa pun selama mereka memandang kepada-Nya, sehingga Allah tidak terlihat lagi oleh mereka. Tetapi masih ada tertinggal iaitu cahaya dan berkat-Nya atas mereka di dalam rumah-rumah mereka.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 533

  • Keredaan abadi Allah terhadap penghuni syurga

    Malik bin Anas meriwayatkan: Daripada Abu Said RA, “Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah berfirman kepada penghuni syurga: Wahai sekalian penghuni syurga!

    Labbaika Rabbana, wa sa’daika (Kami penuhi panggilan-Mu wahai Tuhan kami dengan memohon kebahagiaan daripada-Mu), jawab mereka.

    Allah bertanya: Apakah kamu sekalian telah reda?

    Mereka menjawab: Kenapa kami tidak reda, padahal Engkau telah memberi kami apa-apa yang Engkau tidak berikan kepada seseorang pun antara makhluk-makhluk-Mu yang lain!

    Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan memberimu yang lebih baik lagi daripada itu.

    Mereka bertanya: Wahai Tuhan kami, apa lagi yang lebih baik daripada itu?

    Allah menjawab: Aku tempatkan keredaan-Ku kepadamu. Dengan demikian Aku tidak akan murka kepadamu selama-lamanya.”

    Hadis ini dikeluarkan juga dengan lafaz sama oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Malik dalam kitab Sahih kedua-duanya.

    Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 532

  • Apakah ada tidur dan mati di dalam syurga

    Menurut riwayat Imam Ahmad: Daripada Abu Hurairah RA dan Abu Said, daripada Nabi SAW bercerita: Maka, terdengarlah suatu seruan:

    Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap hidup, tanpa mengalami mati selama-lamanya.

    Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap sihat, tanpa mengalami sakit selama-lamanya.

    Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap muda, tanpa mengalami tua selama-lamanya.

    Dan sesungguhnya kamu sekalian akan tetap nikmat tanpa mengalami penderitaan selama-lamanya.

    Nabi bersabda: Empat perkara inilah yang diseru.

    Al-Hafiz Abu Bakar bin Mardawaih meriwayatkan: Daripada Jabir RA, sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): Tidur adalah saudara mati. Dan sesungguhnya penghuni syurga tidak tidur.

    Huru-hara Hari Kiamat, 530

  • Kelahiran bayi dalam syurga?

    Apabila penghuni syurga menginginkan anak, maka mereka diberi anak, seperti halnya semasa hidup di dunia, benarkah?

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Said RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Apabila seorang Mukmin (orang beriman) menginginkan anak di syurga, maka dikandung anak itu, dilahirkan dan dibesarkannya dalam sekelip (sebentar) seperti yang diinginkan Mukmin itu?

    Menurut Tirmidzi, hadis ini (statusnya) hasan gharib, sedangkan al-Hafiz adh-Dhiya al-Maqdisi mengatakan: Menurutku hadis ini sesuai syarat (Imam) Muslim.

    Sufyan ats-Tsauri meriwayatkan, daripada Abban, daripada Abus Siddiq an-Naji, daripada Abu Said, dia berkata: Pernah ditanyakan, wahai Rasulullah, mungkinkah dilahirkan seorang anak bagi penghuni syurga? Bukankah anak itu melengkapi kegembiraan?

    Rasul menjawab: Benar, demi Allah yang menggenggam jiwaku, tetapi itu terjadi hanya selama waktu seseorang daripada kamu sekalian berangan-angan, maka terjadilah anak itu, dikandung dan disusukan, lalu menjadi pemuda.

    Penjelasan Rasulullah pada hadis terakhir ini menunjukkan peristiwa kelahiran anak benar-benar terjadi.

    Ada dinukilkan (dipetik) daripada sejumlah tabiin seperti Thawus, Mujahid, Ibrahim an-Nakhaie dan lain-lain, bahawa di syurga tidak ada peristiwa kelahiran anak.

    Ini benar, kerana hubungan seksual yang dilakukan penghuni syurga tidak menyebabkan terjadi janin seperti halnya di dunia. Dunia memang merupakan alam yang menghendaki berlangsungnya keturunan, untuk memakmurkannya. Lain halnya syurga, yang menghendaki kekalnya kerajaan. Oleh kerana itu, dalam hubungan seksual di sana tidak terjadi keluarnya mani yang mengakibatkan terputusnya kelazatan persetubuhan. Namun apabila ada seseorang penghuni syurga yang menginginkan anak, maka apa yang diinginkan itu terjadi, sebagaimana difirmankan Allah (maksudnya): Mereka memperoleh apa saja yang mereka kehendaki pada sisi Tuhan mereka. Demikianlah balasan orang-orang yang berbuat baik.” (Az-Zumar, 34)

    Sumber: Huru-hara Hari Kiamat, 527 & 528

  • Apakah orang lelaki melakukan persetubuhan di dalam syurga?

    Menurut riwayat Abu Daud ath-Thayalisi: Daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang Mukmin di dalam syurga diberi kekuatan sekian dan sekian lelaki.

    Saya (Anas) berkata: Wahai Rasulullah, kuatkah dia melakukan itu?

    Rasul menjawab: Dia diberi kekuatan seratus (orang lelaki).

    Ath-Thabarani meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA: Pernah ditanya; wahai Rasulullah, apakah orang lelaki melakukan persetubuhan di dalam syurga? — Dan menurut riwayat lain; apakah kita menyetubuhi isteri-isteri kita? — Rasulullah menjawab: Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya seorang lelaki dalam satu pagi benar-benar menyetubuhi seratus perawan.

    Al-Hafiz adh-Dhiya mengatakan: Menurutku hadis ini sesuai syarat hadis sahih.

    Huru-hara Hari Kiamat, 527

  • Andai wanita syurga mengintip ke bumi

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Anas RA, (sabda) Rasulullah SAW: Sesungguhnya berangkat di waktu pagi atau petang di jalan Allah adalah lebih baik daripada dunia seisinya. Sesungguhnya sebatang busur panah milik seorang daripada kamu sekalian atau tempat cambuknya di syurga, adalah lebih baik dari dunia seisinya. Dan andai ada seorang wanita syurga mengintip ke bumi, nescaya baunya memenuhi ruang di antara bumi dan langit, dan nescaya semuanya menjadi harum. Dan sesungguhnya tudung di atas kepalanya lebih baik dari dunia seisinya.

    Menurut riwayat al-Bukhari: Andai ada seorang wanita penghuni syurga mengintip ke bumi, nescaya dia menerangi ruang di antara bumi dan langit, dan nescaya baunya memenuhi ruang di antara kedua-duanya. Sesungguhnya tudung di atas kepalanya lebih baik dari dunia seisinya.

    Huru-hara Hari Kiamat, 526

  • Syurga tidak dimasuki nenek-nenek

    Abu Bakar bin Syaibah meriwayatkan: Daripada Aisyah RAnha, Rasulullah pernah didatangi seorang nenek daripada kalangan Ansar, maka nenek itu berkata: Wahai Rasulullah, doakan aku kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.

    Baginda menjawab: Sesungguhnya syurga tidak dimasuki nenek-nenek.

    Rasulullah pergi solat, kemudian kembali kepada Aisyah.

    Aisyah mengadu: Nenek itu berasa sedih dan susah sekali mendengar perkataan anda tadi.

    Baginda bersabda: Sesungguhnya memang begitu. Sesungguhnya apabila Allah telah memasukkan nenek-nenek ke dalam syurga, maka mereka diubah-Nya menjadi gadis kembali.

    Huru-hara Hari Kiamat, 524

  • Cantik jelita wajah mereka

    Ath-Thabarani meriwayatkan: Daripada Ummu Salamah RAnha; dia berkata: Saya pernah bertanya: Wahai Rasulullah, beritahu saya mengenai mereka yang diceritakan Allah dalam firman-Nya: وحور عين (ayat 22, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Dan (dalam syurga) ada bidadari-bidadari yang matanya bercahaya).

    Baginda bersabda: (Mereka adalah) bidadari-bidadari yang matanya bercahaya. Pelupuk mata bidadari-bidadari itu (selalu berkedip-kedip) bagaikan sayap burung nasar.

    Saya berkata: Beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 23, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Laksana mutiara yang tersimpan dengan baik).

    Baginda bersabda: (Mereka berkulit) jernih sejernih mutiara yang tersimpan dalam kerangnya, yang belum disentuh tangan-tangan (manusia).

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 70, surah ar-Rahman — bermaksud: Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik lagi cantik jelita).

    Baginda bersabda: (Mereka) baik akhlaknya, cantik jelita wajahnya.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 49, surah as-Saffat — bermaksud: Seolah-olah mereka adalah telur yang tersimpan dengan baik).

    Baginda bersabda: Kelembutan mereka selembut selaput dalam telur yang ada di sebalik cengkerangnya, iaitu kulit ari yang terlekat pada putih telur.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 37, surah al-Waqi’ah — bermaksud: Penuh cinta lagi sebaya umurnya).

    Baginda bersabda: (Mereka adalah) wanita-wanita yang dunia sudah menjadi nenek-nenek buruk dan beruban, di syurga mereka menjadi wanita-wanita kesayangan yang penuh cinta, umur mereka sebaya seolah-olah lahir pada hari yang sama.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya mana yang lebih utama, wanita dunia atau bidadari?

    Baginda bersabda: Bahkan wanita dunia lebih utama daripada bidadari, seperti lebih utamanya zahir atas batin.

    Saya bertanya: Wahai Rasulullah, kerana apa?

    Baginda menjawab: Kerana solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah. Allah memberi cahaya pada wajah mereka, dan memakai sutera pada tubuh mereka. Warna kulit mereka putih, pakaian mereka hijau, perhiasan mereka kuning, tempat menyimpan mereka mutiara dan sisir mereka emas. Mereka berkata: Kami adalah wanita-wanita abadi, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita bahagia, tidak akan miskin selama-lamanya. Kami adalah wanita-wanita penduduk tetap, tidak akan pindah selama-lamanya. Berbahagialah orang yang menjadi milik kami dan kami menjadi miliknya.

    Saya bertanya: Wahai Rasulullah, antara kami ada seorang wanita yang bersuamikan dua, tiga atau empat orang, lalu meninggal. Kemudian, wanita itu masuk syurga dan (bekas-bekas) suaminya pun semuanya masuk syurga. Siapakah yang akan menjadi jodohnya?

    Baginda menjawab: Wahai Ummu Salamah, wanita itu akan disuruh memilih, maka dia memilih suami yang paling luhur akhlaknya. Wanita itu berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya lelaki ini adalah yang terbaik akhlaknya terhadapku semasa di dunia, maka jodohkanlah aku dengannya.” Wahai Ummu Salamah, akhlak yang baik membawa kebaikan dunia dan akhirat.

    Huru-hara Hari Kiamat, 522-524