pahala

  • 7 golongan mendapat naungan Allah

    Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tujuh yang Allah naungi di bawah naungan-Nya pada hari tidak ada naungan melainkan naungan-Nya: Pemimpin yang adil; pemuda yang membesar dalam beribadat kepada Allah Taala; lelaki yang hatinya bergantung dengan masjid-masjid; dua lelaki yang saling mengasihi kerana Allah, kedua-duanya bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah; lelaki yang diajak oleh wanita kaya lagi cantik lalu dia berkata ‘sesungguhnya saya takut kepada Allah’; seorang lelaki bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan (diberikan) oleh tangan kanannya; dan seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dalam kesendirian maka berlinangan kedua-dua matanya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 469.

  • Peringatan kepada pemimpin, sesiapa menguruskan urusan manusia agar tidak mengabaikan mereka

    Daripada Abi Maryam al-Azdiyyi, bahawa dia berkata kepada Muawiyah: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa yang Allah menguasakan kepadanya untuk menguruskan suatu urusan daripada urusan-urusan Muslimin (orang Islam), maka dia mengabaikan keperluan, kemiskinan dan kefakiran, Allah akan mengabaikan keperluan, kemiskinan dan kefakiran mereka kelak pada hari kiamat. Maka, Muawiyah menugaskan seseorang untuk menguruskan keperluan-keperluan manusia. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud & at-Tirmidzi)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 468.

  • Peringatan agar tidak jadi seperti huthamah

    Daripada ‘Aidz ( عائذ ) bin Amru, bahawa dia masuk ke atas (bertemu dengan) Ubaidullah bin Ziyad, maka berkata kepadanya: Wahai anakku, bahawa saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya seburuk-buruk pengembala adalah al-Huthamah, maka janganlah kamu menjadi bahagian daripada mereka. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, huthamah ( الحطمة ) ialah pengembala yang kejam terhadap ternaknya – ini adalah pemisalan untuk pemimpin jahat yang tidak berbelas kasih dan menyayangi rakyatnya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 468.

  • Bani Israil dipimpin nabi, kepimpinan dan kepatuhan

    Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Adalah Bani Israil (dahulu) dipimpin oleh para nabi, setiap kali seorang meninggal digantikannya dengan seorang nabi (nabi lain selepasnya), dan sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku, dan yang akan ada selepasku para khalifah (pengganti) maka mereka ramai. Para sahabat berkata (bertanya): Wahai Rasulullah, maka apakah yang anda perintahkan pada kami? Baginda bersabda (menjawab, mafhumnya): Tunaikan (patuhi) oleh kamu dengan baiah pertama, maka yang pertama, kemudian berikanlah mereka hak mereka, dan mintalah kepada Allah yang (menjadi hak) bagi kamu, maka sesungguhnya Allah meminta tanggungjawab mereka mengenai kepimpinan mereka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, teks itu antaranya diterjemahkan: “…namun yang ada adalah para khalifah yang mereka akan banyak berbuat dosa. Para sahabat bertanya: wahai Rasulullah, apa yang anda perintahkan untuk kami jika itu terjadi? Beliau menjawab; penuhilah baiat yang pertama, kemudian yang sesudah itu…”

    Baiah ialah janji setia atau taat setia.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 467.

  • Doa Nabi kepada pemimpin yang menyusahkan, membantu rakyat

    Daripada Aisyah, berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda di rumah saya, ini: Wahai Allah! Sesiapa menguruskan suatu urusan umatku, lalu dia menyusahkan ke atas mereka, maka susahkan atasnya, dan sesiapa menguruskan suatu urusan umatku, lalu dia menolong mereka, maka tolonglah dengannya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini sebagai dalil perintah bagi para pemimpin umat untuk berusaha menegakkan kemaslahatan rakyat dan bersungguh-sungguh dalam menjauhi segala hal yang membahayakan mereka dan yang menyusahkan mereka, sama ada berbentuk perkataan mahupun perbuatan dan tidak mengabaikan keadaan mereka.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 467.

  • Pemimpin tipu rakyat diharamkan syurga ke atasnya

    Daripada Abu Ya’la Ma’qil bin Yasar berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah seorang hamba yang diberikan tanggungjawab (kuasa) untuk memimpin rakyat, dia mati pada hari dia mati sedang dia menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 466.

  • Jangan buat orang lari apabila mengimamkan solat

    Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amru al-Badriyy berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, maka berkata: “Saya melambatkan dari solat Subuh kerana polan memanjangkan (solat) dengan kami.” Maka, saya tidak pernah melihat Nabi SAW marah dalam suatu nasihat daripada kemarahannya pada waktu itu. Maka, baginda bersabda: “Wahai manusia, sesungguhnya antara kamu ada yang membuatkan orang lain lari, maka siapa saja antara kamu mengimamkan orang lain hendaklah dia meringankannya, maka sesungguhnya (sebab) di belakangnya ada orang tua, anak kecil dan orang mempunyai hajat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 463.

  • Anjuran terus menghubungkan kerabat

    Daripada Abu Hurairah: Bahawa seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, saya mempunyai kerabat yang saya menghubunginya dan mereka memutuskan (hubungan dengan) saya, dan saya berbuat baik kepada mereka dan mereka menyakiti kepada saya, dan saya santuni mereka dan mereka berbuat jahil ke atas saya. Maka, baginda bersabda: Sekiranya anda adalah sebagaimana yang anda kata, maka seolah anda membuat wajah mereka berwarna seperti abu panas, dan sentiasa bersama anda (pertolongan) daripada Allah Taala dalam menghadapi mereka selama anda berbuat demikian. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 462.

  • Orang kuat dapat tahan diri ketika marah

    Daripada Abu Hurairah: Bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Orang kuat bukanlah dengan berkelahi, sesungguhnya orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya (nafsunya) ketika marah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan as-sur’ah ( الصُرعَة ) dalam teks hadis itu ialah orang berkelahi dengan orang lain dan menang. Maksudnya orang kuat yang terpuji itu bukanlah orang yang menang berkelahi dengan orang lain. Namun yang terpuji adalah orang yang dapat mengalahkan nafsunya dan menahannya ketika sedang marah – menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Mudah difahami di sini ialah orang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 461/462

  • Pemaaf dan sabarnya nabi Allah

    Daripada Ibnu Mas’ud berkata: Seolah-olah (Saya rasa) saya lihat Rasulullah SAW sedang menceritakan mengenai seorang daripada kalangan nabi, solawatullahi wa salamuhu alaihim, dipukul oleh kaumnya sampai berdarah, dan dia mengusap darah yang mengalir dari wajahnya dan berkata (berdoa): Wahai Allah, ampunkanlah kaumku, kerana mereka belum mengetahui. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 461.