iman

  • Keutamaan orang miskin

    Daripada Usamah bin Zaid RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Saya berdiri di pintu syurga, maka sebahagian besar orang yang memasukinya ialah orang-orang miskin, dan orang-orang yang mempunyai kekayaan semua ditahan dulu, selain penghuni-penghuni neraka telah diperintahkan dengan mereka ke neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Al-Jadd (perkataan dalam hadis itu) diterjemahkan sebagai bahagian harta dan kekayaan – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 364.

  • Dunia penjara mukmin, syurga orang kafir

    Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dunia adalah penjara mukmin dan syurga orang kafir. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Erti hadis itu ialah dunia merupakan penjara bagi orang mukmin jika dibandingkan dengan kenikmatan yang disiapkan untuknya di akhirat, dan merupakan syurga bagi orang kafir jika dibandingkan dengan seksaan yang disiapkan untuknya di akhirat.

    Orang mukmin dilarang daripada hal pemuas nafsu yang diharamkan, sedangkan orang kafir sibuk melakukannya.

    Nabi SAW pernah bersabda (mafhumnya): “Syurga dikelilingi dengan hal yang dibenci, sedangkan neraka dikelilingi hal yang disenangi.”

    Abu Sahl Ash-Sha’luki Al-Faqih, dia termasuk antara yang menjadi pemimpin agama sekaligus pemimpin dunia. Suatu ketika dia bersama rombongannya. Tiba-tiba ada seorang Yahudi muncul di hadapannya, dengan pakaian buruk.

    Lalu, orang Yahudi itu berkata: Bukankah kamu mengaku bahawa Nabi kamu pernah berkata: “Dunia merupakan penjara orang mukmin, dan syurga orang kafir.” Padahal aku ini orang kafir dan kamu melihat sendiri keadaanku seperti ini, sedangkan kamu orang mukmin, dan kamu juga dapat melihat keadaan kamu.

    Abu Sahl berkata: Jika kelak kamu mendapatkan seksa Allah, maka keadaan ini adalah syurgamu. Dan jika kelak aku mendapatkan kenikmatan dan reda Allah, maka keadaan ini merupakan penjara bagiku.

    Orang ramai kagum pemahamannya dan mampu menjawab dengan cepat. Demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 355

  • Seksa akhirat melupakan nikmat dunia dan nikmat akhirat melupakan sengsara dunia

    Daripada Anas RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kelak akan didatangkan orang yang paling mendapatkan kenikmatan di dunia dan dia termasuk golongan ahli neraka pada hari kiamat, lalu dia diceburkan dalam neraka dengan sekali ceburan, kemudian dikatakan: “Wahai anak Adam! apakah kamu pernah melihat suatu kebaikan, sekalipun sedikit? Apakah ada suatu kenikmatan yang pernah menghampirimu sekalipun sedikit?”

    Dia berkata: “Tidak, demi Allah wahai Rabb.”

    Dan, didatangkan pula orang yang paling menderita di dunia, dan dia termasuk penduduk syurga, lalu dia dimasukkan ke dalam syurga. Maka, dikatakan kepadanya: “Wahai anak Adam! Apakah kamu pernah melihat suatu kesengsaraan sekalipun sedikit? Apakah ada penderitaan yang pernah menghampirimu sekalipun sedikit?”

    Maka, dia menjawab: “Tidak, demi Allah, tidak pernah ada penderitaan pun yang menghampiri diriku dan tidak pernah saya melihat suatu kesengsaraan pun.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Seksaan akhirat dapat melupakan kenikmatan dunia dan kenikmatan akhirat dapat melupakan kesengsaraan dunia.

    Boleh juga lihat ayat 112-114, surah al-Mukminun dan surah Fathir, ayat 34-35.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 351

  • Kehidupan akhirat yang abadi

    Daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Wahai Allah, tiadalah kehidupan (yang kekal) kecuali kehidupan akhirat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan ini disabdakan oleh Nabi SAW ketika mengalami keadaan yang sangat berat tatkala baginda memandang kelelahan para sahabatnya di saat menggali parit. Baginda juga mengatakannya dalam keadaan paling bergembira tatkala baginda melihat ramai orang mukmin pada hari arafah; “Aku penuhi panggilan-Mu, sesungguhnya tidak ada kehidupan yang kekal melainkan kehidupan di akhirat”. Maksudnya, kehidupan abadi yang tiada kesedihan dan kepayahan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 350

  • Waspada terhadap dunia dan wanita

    Daripada Abu Said RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya dunia manis lagi hijau, dan sesungguhnya Allah Taala akan menjadikan kamu sebagai pemimpin padanya. Maka, Dia perhatikan bagaimana kamu perlakukan. Maka, waspadalah kamu terhadap dunia dan waspadalah kamu terhadap wanita. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Sabda Rasulullah SAW ‘manis dan hijau’ maksudnya dunia memadukan dua sifat yang disenangi oleh mata dan perasa, seperti buah-buahan. Dalam hadis ini terdapat peringatan daripada fitnah harta benda dan fitnah perempuan. Demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 350

  • Dua dan ke atas adalah jemaah

    Daripada Abu Musa Al-Asy’ariyyi, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dua (orang) dan apa di atas dua (orang) adalah jemaah.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 164.

  • 3 tidak diterima

    Telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami ‘Abdah bin Sulaiman dan Ja’afar bin ‘Aun, daripada Al-Ifriqiyyi daripada ‘Imran, daripada Abdullah bin Amru, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tiga tidak diterima bagi mereka solat, seorang lelaki dia mengimamkan suatu kaum sedangkan mereka tidak menyukainya, seorang lelaki yang tidak mendatangi (melakukan) solat kecuali setelah habis waktunya, dan orang yang memperhambakan orang merdeka.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 163.

  • Jangan membunyikan jari ketika solat

    Yahya bin Hakim menceritakan, Abu Qutaibah menceritakan, Yunus bin Abi Ishaq dan Israil bin Yunus, daripada Abi Ishaq, daripada Al-Harits, daripada Ali, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Janganlah membunyikan jari-jemarimu sedangkan kamu dalam solat.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 163.

  • Membaca Amin

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila qari (imam) mengaminkan, maka bacalah amin oleh kamu, maka sesungguhnya malaikat membaca amin, maka sesiapa bacaan aminnya bertepatan (serentak, bersama-sama) dengan amin malaikat, diampunkan baginya dosanya yang lalu.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 145

  • Tangan kanan, tangan kiri ketika solat

    Daripada Qabisoh bin Hulb, daripada bapanya, dia berkata: Adalah Nabi SAW mengimamkan kami, baginda memegang tangan kirinya dengan tangan kanannya.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 138