Air panas dituangkan ke kepala ahli neraka

  • Dialog dengan Tuhan Maha Kuasa

    Daripada Adi bin Hatim, daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda (mafhumnya): Setiap seorang daripada kamu sekalian benar-benar akan berdiri di hadapan Allah tanpa hijab yang menghalangnya dari Tuhannya dan tanpa jurubahasa menterjemahkan untuknya.

    Allah bertanya: Tidakkah Aku telah memberimu harta?
    Benar, jawab orang itu.

    Allah bertanya pula: Tidakkah Aku telah mengutuskan kepadamu seorang rasul?
    Benar, jawab orang itu.

    Lalu, dia (orang itu) memandang sebelah kanannya, maka dia tidak melihat kecuali neraka. Dan dia memandang pula ke sebelah kirinya, maka dia tidak melihat melainkan neraka.

    (Oleh kerana itu), hendaklah setiap orang daripada kamu sekalian menjaga dirinya dari neraka, walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma. Dan jika itu pun tiada, maka dengan kalimat (perkataan, ucapan) yang baik. (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 351

  • Sesetengah orang diusir kerana perbuatan mereka

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Asma binti Abu Bakar, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya aku (akan menunggu) di perigi, sehingga aku boleh melihat sesiapa yang datang kepadaku daripada kamu sekalian. Dan akan ada sesetengah orang yang diusir daripadaku, maka aku berkata: Wahai Tuhanku, mereka daripada golonganku, mereka daripada umatku.

    Lalu dibantah: “Adakah kamu tahu apa yang telah mereka lakukan sepeninggalanmu? Demi Allah, mereka selalu berbalik ke belakang (murtad).”


    Ibnu Abi Malikah selalu berdoa: Wahai Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada berbalik ke belakang (murtad) atau terkena bencana mengenai agama kami.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 292/293

  • Wajah, anggota tubuh bercahaya kerana kesan wuduk

    Menurut riwayat Muslim: Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya perigiku lebih jauh (luas) dari jarak di antara Ailah dan Aden. (Airnya) lebih putih daripada salji, lebih manis daripada madu dicampur susu. Cawan-cawannya lebih banyak daripada bilangan bintang di langit. Dan sesungguhnya aku benar-benar akan mencegah sesetengah orang darinya, sebagaimana seseorang mencegah unta orang lain dari periginya.

    Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, adakah anda mengenali kami pada hari itu?

    Baginda menjawab: Ya, ada tanda pada kamu sekalian yang tidak dimiliki umat lain. Kamu sekalian akan datang kepadaku dengan wajah dan anggota tubuh bercahaya kerana bekas (kesan) wuduk.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 290/291

  • Cawan-cawannya sebanyak bintang di langit

    Dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim ada diriwayatkan daripada Sahl, bahawa ketika Rasulullah membahagikan ghanimah (harta rampasan perang) Hunain, baginda memberikan kepada beberapa orang tokoh Quraisy dan kabilah Arab yang lain, sehingga ada sebahagian sahabat Ansar yang marah. Baginda SAW pun berpidato, antara lain baginda bersabda: Sesungguhnya kamu sekalian sepeninggalanku akan melihat atsarah (sikap mementingkan diri sendiri), maka bersabarlah kamu sekalian, sehingga bertemu denganku di perigi (al-haudh).

    Al-Bukhari meriwayatkan pula pada bab al-Haudh dalam sahihnya, daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Al-Kautsar maksudnya ialah kebaikan yang banyak, yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah.

    Abu Bisyr mengatakan: Aku pernah bertanya kepada Said bin Jabir, sesungguhnya ada sebahagian orang yang beranggapan bahawa al-Kautsar itu ialah sungai dalam syurga? Said menegaskan: Dari al-Kautsar ke perigi ada dua pancuran diperbuat daripada emas dan perak.

    Al-Bukhari meriwayatkan pula daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya di hadapanku ada perigi seluas antara Jarba dan Adzruh.

    Al-Bukhari juga meriwayatkan, Abdullah bin Amr bin As, meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: Perigiku seluas perjalanan sebulan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada minyak kasturi, cawan-cawannya sebanyak bintang-bintang di langit. Sesiapa meminum dari perigi itu, maka dia tidak akan terasa dahaga selama-lamanya.

    Al-Bukhari meriwayatkan: Abdullah bin Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda: Aku menunggu kamu sekalian di perigi.

    Nota: Jarba ialah nama suatu tempat di wilayah Amman di Balqa Syam, dekat gunung Surah sebelah tanah Hijaz (Mu’jam Buldan).

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 286/287

  • Cerita mengenai perigi Nabi

    Dalam sahih Bukhari diriwayatkan bahawa perawi (periwayat) hadis ini berkata: Aku diceritakan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya ukuran perigiku adalah seluas antara Ailah dan Sanaa di Yaman dan sesungguhnya kendi-kendinya sebanyak bintang-bintang di langit.

  • 5 perkara diberikan kepada Nabi Muhammad

    Dalam sahih Bukhari, sahih Muslim dan yang lain, diriwayatkan daripada Jabir dan yang lain, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun antara para nabi sebelumku.

    Aku diberikan pertolongan berupa rasa takut (di hati musuh) dalam jarak perjalanan sebulan.

    Dihalalkan bagiku harta rampasan perang, padahal itu tidak dihalalkan bagi sesiapa pun sebelumku.

    Bumi bagiku dijadikan tempat subur dan suci, sehingga di mana pun seseorang daripada umatku mengalami waktu solat, maka solatlah.

    Aku diberikan syafaat.

    Dan setiap nabi hanya diutus kaumnya saja, sedangkan aku diutus kepada seluruh umat manusia.”


    Nota: Pernyataan “aku diberikan syafaat” maksudnya syafaat yang diminta oleh umat manusia kelak pada hari kiamat kepada Nabi Adam, namun dia menyatakan “Aku tidak patut memberikan itu. Pergilah kamu kepada Nuh.” Nabi Nuh pun berkata sama dan menyarankan umat manusia meminta kepada Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim menyarankan agar memintanya kepada Nabi Musa. Nabi Musa menyarankan memintanya kepada Nabi Isa. Nabi Isa menyarankan memintanya kepada Nabi Muhammad. Baginda SAW berkata: Akulah pemilik syafaat itu. Akulah pemilik syafaat itu.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 279

  • Orang dapat syafaat Nabi

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Jabir bin Abdillah, sabda Rasulullah SAW: Sesiapa mengucapkan ketika mendengar seruan (azan):

    اَللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ القَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الوَسِيْلَةَ وَالفَضِيْلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا الَّذِى وَعَدْتَهُ

    (Wahai Allah! Pemilik seruan yang sempurna dan solat yang akan didirikan, berikanlah kepada Nabi Muhammad wasilah dan keutamaan, dan angkatlah dia ke tempat terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya), maka, orang itu akan mendapat syafaatku pada hari kiamat.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 278/279

  • La ilaha illallah, takkan sepi dalam kubur

    Diriwayatkan daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Orang yang sentiasa mengucapkan La ilaaha illallaah tidak akan mengalami kesepian di dalam kuburnya, mahupun pada hari perhimpunan. Seolah-olah aku telah berada bersama mereka, ketika mereka mengibaskan debu dari wajah mereka, lalu mereka berkata: Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan daripada kami.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 265

  • Rasulullah yang pertama memberi syafaat

    Muslim bin Hajjaj meriwayatkan, bahawa perawi hadis ini berkata, Abu Hurairah menceritakan kepadanya, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Aku adalah pemimpin anak cucu Adam pada hari kiamat, orang yang pertama sekali dikeluarkan dari rekahan bumi, orang yang pertama sekali memberi syafaat dan orang yang pertama diterima syafaatnya.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 229

  • Bumi diharamkan memakan jasad para nabi

    Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan: Daripada Aus bin Aus ats-Tsaqafi, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sebaik-baik hari kamu adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, pada hari itu dia dicabut nyawanya. Pada hari itu sangkakala ditiup (tiupan mengejutkan) dan pada hari itu pula (ditiup tiupan yang) mematikan. Maka, perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku padanya (pada hari Jumaat), kerana selawat kamu sekalian diperlihatkan kepadaku.

    Maka, mereka (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin selawat kami diperlihatkan, jika anda telah hancur?

    Baginda menjawab: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mengharamkan bumi memakan jasad kalangan nabi solawatullahi ‘alaihim.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 229