HADIS

  • Sikap berhati-hati Nabi

    Daripada Anas, bahawa Nabi SAW pernah menemui sebiji kurma di jalan, maka baginda bersabda: Jika bukan bahawa saya khuatir ianya daripada sedekah, nescaya saya memakannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 429/430.

  • Halal dan haram itu jelas, antara kedua-duanya syubhat

    Daripada an-Nu’man bin Basyir, berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya (perkara) halal itu jelas dan sesungguhnya (perkara) haram itu jelas. Dan antara kedua-duanya musytabihaat (perkara-perkara syubhat atau samar) tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Maka, sesiapa menjaga (dirinya daripada) perkara-perkara syubhat, dia menyelamatkan agama dan harga dirinya. Dan sesiapa terjerumus kepada perkara-perkara syubhat, dia terjerumus kepada keharaman. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar daerah terlarang, yang hampir-hampir dia mengembala di dalamnya. Ketahuilah, dan sesungguhnya setiap raja memiliki daerah terlarang. Ketahuilah, dan sesungguhnya larangan Allah adalah perkara-perkara yang diharamkan oleh-Nya. Ketahuilah, dan sesungguhnya di dalam tubuh itu terdapat segumpal daging, apabila ia baik, baiklah pula seluruh tubuhnya, dan apabila ia rosak, rosaklah pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, dan ia ialah hati. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 429.

  • Solat empat rakaat sebelum dan selepas Zuhur diharamkan dari neraka

    Daripada Ummu Habibah, daripada Nabi SAW bersabda: Sesiapa solat sebelum Zuhur empat (rakaat) dan selepasnya empat (rakaat), maka Allah mengharamkannya atas neraka.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 198.

  • Terluput empat rakaat sebelum Zuhur

    Daripada Aisyah berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila tidak sempat mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur, baginda melakukannya selepas dua rakaat selepas Zuhur.

    Abu Abdullah berkata, tidak ada yang menceritakannya melainkan Qais daripada Syu’bah.

    HURAIAN

    Terjemahan dalam Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah: Jika Rasulullah tidak sempat mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur, beliau menggantikannya dengan dua rakaat setelah mengerjakan dua rakaat ba’diah Zuhur.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 197.

  • Empat rakaat sebelum Zuhur disukai Nabi

    Abu Bakar bin Abu Syaibah menceritakan, Jarir menceritakan, daripada Qabus, daripada bapanya, berkata: Bapaku mengutuskan seseorang untuk bertanya kepada Aisyah, solat apa yang paling disukai Rasulullah SAW untuk dijadikan sebagai kebiasaan? Dia (Aisyah) berkata: Baginda suka mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur, dengan memanjangkan berdiri dan memperelokkan rukuk dan sujud.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 197.

  • Solat dua rakaat selepas Subuh

    Daripada Qais bin Amru berkata: Nabi SAW melihat seorang lelaki solat dua rakaat selepas Subuh, maka Nabi berkata: Adakah solat Subuh dua kali! Maka, lelaki itu berkata kepada baginda: Sesungguhnya saya belum melakukan dua rakaat sebelum dua rakaatnya (sebelum dua rakaat Subuh), maka saya solat dua rakaat itu. Maka, Nabi SAW diam.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 196.

  • Apabila iqamat, tiada lagi solat melainkan yang wajib

    Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila iqamat dikumandangkan, maka tidak ada solat melainkan yang wajib.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 196.

  • Bacaan dalam dua rakaat sebelum Subuh

    Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW membaca pada dua rakaat sebelum fajar Qul yaa ayyuhal kaafiruun dan Qul huwallaahu ahad.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 195.

  • Solat dua rakaat sebelum Subuh

    Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW apabila fajar telah meneranginya baginda solat dua rakaat.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 194.


    Daripada Ibnu Umar, daripada Hafsah binti Umar bahawa Rasulullah SAW apabila diserukan untuk solat Subuh, baginda mengerjakan solat dua rakaat ringan sebelum berdiri untuk solat (sebelum pergi solat).

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 194/195.

  • Jaga solat 12 rakaat dibinakan rumah di syurga

    Daripada Aisyah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya); sesiapa menjaga dua belas rakaat daripada sunnah dibinakan baginya sebuah rumah di syurga, (iaitu) empat (rakaat) sebelum Zuhur, dua rakaat selepas Zuhur, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak, dan dua rakaat sebelum Fajar (Subuh).

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 194.