HADIS

  • “Inilah kebinasaanku”

    Imam Ahmad meriwayatkan satu hadis daripada Abdullah bin Umar (Ibnu Umar), di mana perawinya Abdul Rahman yang mendengar daripada Ibnu Umar mengaku: Waktu itu saya sedang duduk bersamanya di bawah naungan Kaabah, ketika dia menyampaikan hadis ini kepada orang ramai, dia berkata: Kami pernah menyertai Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan jauh, maka kami singgah di suatu tempat. Tiba-tiba berserulah seorang penyeru yang ditugaskan Rasulullah SAW — “Assolatu jaami’ah”.

    Ibnu Umar berkata: Aku pun tiba di hadapan Rasul ketika baginda sedang berkhutbah di hadapan orang ramai: 

    Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada sesuatu pun sebelum aku, kecuali Allah SWT (Subhanahu wa Taala) pasti menunjuki hamba-hamba-Nya mana antaranya yang Dia ketahui merupakan kebaikan bagi mereka, dan Dia peringatkan mereka terhadap apa yang diketahui-Nya merupakan keburukan bagi mereka. Dan ketahuilah, sesungguhnya kesentosaan (kesejahteraan) umat ini berada pada awalnya. Lalu, akhir daripada umat ini akan ditimpa bencana dan huru-hara silih berganti. Ketika huru-hara datang, maka berkatalah Mukmin — “Inilah kebinasaanku.” Kemudian huru-hara itu pun selesai, namun kemudian datang lagi. Maka, berkatalah Mukmin — “Inilah, inilah.” Kemudian datang pula huru-hara yang lain, maka dia berkata — “Inilah, inilah.” Kemudian huru-hara itu pun selesai. Oleh kerana itu, sesiapa ingin dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka hendaklah dia berusaha mengalami kematian dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah dia berlaku adil terhadap sesama manusia seperti yang dia inginkan orang lain berlaku (melayani) terhadapnya. Dan sesiapa berbaiah kepada seorang imam, maka hendaklah dia patuh kepadanya, kalau boleh dan suatu kali baginda mengatakan sebolehnya. 

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 57/58

  • Apabila zaman mengoyak umat manusia

    Menurut riwayat Abu Daud, daripada Abdullah bin Amr bin As, Rasulullah SAW bersabda: Bagaimana dengan kamu, padahal zaman tidak lama lagi akan mengoyak umat manusia sekacau-kacaunya, sementara mereka benar-benar telah bercampur-aduk (dalam menyelenggarakan) janji-janji mereka dan berselisih pendapat, sehingga mereka menjadi seperti ini — sambil menjalinkan jari-jari baginda satu sama lain — Sahabat bertanya: Bagaimana seharusnya sikap kami, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Ambillah apa-apa yang kamu kenal (baik) dan tinggalkan apa-apa yang tidak kamu kenal. Uruslah (baik-baik) urusan peribadimu, jangan pedulikan penilaian masyarakat umum. 

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 56/57

  • Terjadi pelbagai fitnah, sehingga muncul dajjal

    Menurut riwayat Abu Daud bahawa perawi hadis ini berkata: Aku telah mendengar Abdullah bin Umar berkata: Kami pernah duduk di sisi Rasulullah SAW, baginda menerangkan panjang lebar mengenai pelbagai jenis huru-hara, hingga akhirnya menyebut fitnah ahlas (huru-hara tiada penamatnya).

    Seseorang bertanya: Wahai Rasulullah, apa itu fitnah ahlas? 

    Nabi SAW menjawab: Ialah rampasan harta dan keluarga, lalu dibawa lari.

    (Rasulullah SAW menyambung keterangannya): Kemudian timbullah sesudah itu fitnah sarra (huru-hara kemewahan), yang tipuan ataupun kerosakannya keluar dari bawah tapak kaki seseorang (yang mengaku) daripada ahli baitku (keturunan  keluarga baginda), padahal dia bukan keluargaku. Wali-waliku hanyalah orang-orang bertakwa. 

    Kemudian manusia mengandalkan seseorang, bagaikan punggung bersandar pada tulang rusuk. Sesudah itu timbullah fitnah duhaima’ (huru-hara sangat dahsyat), yang tidak membiarkan seorang pun daripada umat ini melainkan dilandanya. Apabila dikatakan huru-hara itu telah selesai, maka ia kembali lagi, di mana seseorang pada waktu pagi hari beriman, lalu petang harinya menjadi kafir. Akhirnya manusia terbahagi ke dalam dua kota besar; kota iman, di mana tidak ada kemunafikan, dan kota munafik, di mana tidak ada keimanan. Apabila itu telah terjadi, maka tunggulah dajjal pada hari itu juga atau esok harinya. 

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 56

  • Keutamaan sifat belas kasihan

    Daripada Aisyah RA (Radhiallahu Anha), dia berkata: Ada beberapa orang dari kalangan orang pedalaman datang menghadap Rasulullah SAW, lalu mereka berkata: “Adakah anda suka mencium anak-anak anda?” 

    Baginda menjawab: “Ya.”

    Mereka berkata lagi: “Tetapi demi Allah, kami tidak pernah mencium anak-anak.”

    Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Apakah saya dapat mencegah sekiranya Allah telah mencabut sifat belas kasihan daripada hati kamu.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Huraian:

    Hadis ini menganjurkan agar mengasihi anak-anak, mencium dan menyayangi mereka.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203/204

  • Orang tidak menyayangi, tidak akan disayangi

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Nabi SAW mencium Al-Hasan bin Ali RA dan di samping baginda ada Al-Aqra’ bin Habis, lalu Al-Aqra’ berkata: “Saya mempunyai sepuluh orang anak. Tetapi saya belum pernah mencium seorang pun daripada mereka.” 

    Lantas Rasulullah SAW memandangnya, kemudian baginda bersabda: “Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203

  • Mukminin bagaikan satu tubuh

    Daripada An-Nu’man bin Basyir RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

    “Perumpamaan orang-orang Mukminin dalam hal saling menyayangi, saling mengasihi dan saling bersimpati adalah bagaikan tubuh. Jika salah satu anggota daripada tubuh merasai sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya, dengan tidak tidur serta berasa panas.” 

    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Huraian:

    Hadis ini menunjukkan kemuliaan hak-hak orang Islam dan motivasi untuk saling membantu dan mengasihi antara sesama yang lain.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203

  • Adab membawa senjata di khalayak

     Daripada Abu Musa RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

    “Sesiapa yang berjalan di suatu tempat dari masjid-masjid kita atau pasar-pasar kita, sedang dia membawa anak panah, maka hendaklah dia memegang atau menggenggam hujung-hujungnya dengan telapak tangannya, sebab dikhuatirkan dengan anak panahnya akan mengenai seseorang daripada orang-orang Muslimin.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Huraian:

    Hadis ini menunjukkan perintah menggenggam hujung anak panah. Demikian pada pedang, pisau dan lain-lain. Dan menyimpan peluru dari senapang dan pistol kerana khuatir terkena pada seseorang.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 202/203

  • Mukmin terhadap Mukmin bagaikan bangunan

    Mukmin terhadap Mukmin bagaikan bangunan

    Daripada Abu Musa RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

    “Seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain bagaikan bangunan yang sebahagiannya menguatkan bahagian lainnya.” Dan baginda menjalinkan antara hari-jarinya.

    (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

    Huraian:

    Hadis ini menganjurkan untuk membantu dan membela orang Mukmin. Allah berfirman, maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (melakukan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah, ayat 2) 

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 202

  • Rasulullah menceritakan hal terkait dengan umat, khuatir terhadap pemimpin menyesatkan

    Menurut riwayat Imam Ahmad, daripada Tsauban RA, sabda Rasulullah SAW:

    “Sesungguhnya Allah SWT telah mengerutkan bumi di hadapanku, sehingga aku dapat melihat negeri-negeri timur dan barat. Dan sesungguhnya kerajaan umatku akan mencapai bahagian-bahagian bumi yang dikerutkan itu. Dan sesungguhnya aku telah diberi dua gudang kekayaan, yang merah dan yang putih (emas dan perak). Dan sesungguhnya aku telah memohon kepada Tuhanku agar umatku tidak dibinasakan dengan kemarau yang merata dan agar mereka tidak dikuasai oleh musuh, selain diri mereka sendiri, yang merampas kejayaan mereka. Dan sesungguhnya Tuhanku yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi berfirman (maksudnya): “Wahai Muhammad, sesungguhnya apabila Aku telah memutuskan suatu keputusan, maka takkan boleh ditolak. Sesungguhnya Aku telah mengabulkan permohonanmu bagi umatmu, yakni mereka takkan dibinasakan dengan kemarau yang merata dan takkan dikuasai oleh musuh, selain diri mereka sendiri yang merampas kejayaan mereka, sekalipun mereka dikepung dari segala penjuru bumi” — atau Allah berfirman (maksudnya): “Orang-orang yang tinggal di segala penjuru bumi – kecuali sebahagian daripada mereka membinasakan sebahagian yang lainnya, dan sebahagian mereka menawan sebahagian lainnya.” 

    “Adapun yang aku khuatirkan terhadap umatku, tidak lain ialah pemimpin yang menyesatkan. Dan apabila pedang telah diletakkan di tengah umatku, maka takkan diangkat lagi daripada mereka sampai hari kiamat.

    “Dan tidak akan terjadi kiamat sehingga adanya beberapa kabilah dari umatku yang bergabung dengan orang-orang musyrik dan sehingga adanya beberapa kabilah dari umatku yang kembali menyembah berhala.

    “Dan sesungguhnya akan muncul di tengah umatku tiga puluh orang pendusta, masing-masing mengaku dirinya nabi, padahal aku penutup para nabi. Tidak ada nabi lagi sesudahku. Namun akan sentiasa ada segolongan daripada umatku yang membela kebenaran. Mereka tidak peduli terhadap sesiapa yang melawan mereka. Sampai datangnya perintah Allah SWT (kiamat).” 

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 55/56  

  • Isyarat mengenai pelbagai rusuhan

    Abu Daud meriwayatkan daripada Muslim bin Abi Bakrah daripada ayahnya, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: 

    “Sesungguhnya akan terjadi suatu huru-hara, di mana orang berbaring lebih baik daripada orang yang duduk, orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri, orang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan, dan orang berjalan lebih baik daripada orang berlari.”

    Abu Bakrah berkata: “Wahai Rasulullah, apa yang anda perintahkan kepadaku?”

    Rasul menjawab: “Sesiapa memiliki unta, temuilah untanya. Sesiapa memiliki kambing, temuilah kambingnya. Dan sesiapa memiliki kebun, temuilah kebunnya.”

    Rasul bersabda pula: “Sesiapa tidak memiliki apa-apa, maka ambillah pedangnya, lalu pukullah batu dengan mata pedangnya itu, kemudian selamatkan diri selagi boleh.” 

    Hadis sama diriwayatkan pula oleh Muslim daripada Utsman as-Sahham.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 53